Monday, March 22, 2010

Kenapa???

Dalam hidup seharian...kita seharusnya bersedia dengan segala kemungkinan. jadi Jangan sampai pabila kita menjadi salah seorang pelakonnya, kita tidak mampu menghayati watak yang diberikan.  Alangkah malang seandainya kita langsung tidak berupaya melafazkan setiap dialog yang sepatutnya kita pertuturkan.

Bukankah setiap detik kita telah diberi peringatan sama ada dalam bentuk arahan mahupun amalan.  Segala perlakuan kita menjurus ke arah bakal terjadinya segala kemungkinan itu..Namun, sejauh mana kita bersedia dengan segala kemungkinan itu????

Kenapa, setiap kali kita ditimpa musibah, ketika itu jua kita kerap menyalahkan takdir dan mencari kesilapan diri mahupun khalayak..sedangkan kita dilatih dan dididik bahawa segala kemugkinan akan dan pasti berlaku dalam kitaran hidup seseorang.

Kadang-kadang menjadi seseorang yang pernah merempuh ranjau berliku dan berduri dalam hidup dilihat lebih senang menerima segala kemungkinan itu..Tetapi masih wujud persoalan, setakat mana dia mampu menanggung segala musibah tersebut???

Mengapa setiap kali kita ditimpa segala petaka, kita merasakan bahawa segala hayat hidup telah berakhir.  Apakah kita sebenarnya tahu bahawa setiap kemungkinan yang pedih itu merupakan sebahagian daripada rezeki hidup kita sebenarnya!

Apakah kita benar-benar tahu, di sebalik keperitan dan kepedihan yang kita tanggung selama memikul bebanan sengsara, Tuhan sedang melihat terhadap setiap tingkah bicara kita.  Tuhan juga sedang memberi segala hikmahnya dalam masa yang sama..namun, ianya kita tutupi dengan keluhan bahawa kita manusia malang!

Kenapa kita tidak memberi sedikit ruang dalam kesengsaraan yang kita tanggung, untuk kita lihat segala kebahagiaan..salahkah untuk kita merasa bahagia dalam kemelut kesengsaraan itu? Kerana, sekiranya kita mampu mengecapi kebahagiaan, segala keperitan dan kepedihan akan hilang sedikit demi sedikit.

Dalam sebuah perjalanan hidup, kesusahan, kepahitan, kesengsaraan dan apa juga musibah akan kita kecapi.  Kerana sebenarnya Tuhan benar-benar menyayangi makhluknya.  Hatta, haiwan juga Tuhan lontarkan kesakitan untuk membuktikan kepada kita bahawa setiap makhluk ciptaanNya akan merasa pahit dan manis sepanjang perjalanan menuju alam akhirat.

Walaupun begitu, memanglah sukar yang teramat untuk kita menerima hakikat bahawa kita dalam perhatian Allah.  Kita memupuk minda dengan membisikkan bahawa kita tidak disayangiNya.  Sebenarnya, jalan terbaik untuk kita mengerti tentang segala sengsara itu adalah dengan mendekatiNya semula.  Kemungkinan, satu ketika tanpa kita sedar sebenarnya haluan hidup telah tersasar dari landasannya.  Untuk mengembalikan kita kepada landasan sebenarnya, Tuhan mencampakkan sedikit dan sekelumit cuma dari segala musibah yang sepatutnya diberikan kepada ummatNya.

Kenapa kita begitu takut dengan sakit?  Sedangkan kesakitan itu jalan mudah untuk kita mendampingi Dia.  Sedangkan kesakitan itu mampu memberi kesedaran bahawa kita tidak menghargai diri sendiri.  Kita tidak menyayangi diri sendiri.  Kita tidak melayan diri sendiri..Kita sebenarnya mengabaikan segala urat saraf, segala tulang temulang, segala otot-otot, segala rerambut dan segala yang saling melengkapi kita sebagai satu jasad manusia...

Catatan pengalaman seorang yang pernah sakit dan sedang dalam kesakitan.....

0 comments: