Wednesday, January 13, 2010

Aduhai 2010....

Hi..Hola...Jumpa lagi di tahun baru yang segalanya masih di takuk lama..Bukan merendahkan martabat diri..tapi, itulah hakikat sebuah perjalanan hidup.  Hari-hari yang dilalui sebenarnya kesinambungan ceritera lama yang tak pernah habis dirungkai dan dilerai.  Hu..hu..hu... sadis betul ayat pengenalan di tahun nan baru.

Diam tak diam, ingat tak ingat...segala peristiwa dan pengalaman dicantum, dikumpul, dihimpun, diadun menjadi kehidupan semakin dewasa dan pemikiran bercambah seusai usia.  Usah dipertikai apa yang pernah kita rempuh, apa yang pernah kita hirup, apa yang pernah kita rasa, apa yang pernah kita lihat..kerana itulah rempah ratus kehidupan yang menjadikan kita seorang insan yang mempunyai keyakinan untuk meniti kehidupan yang mendatang.

Esok atau lusa, kita belum tahu apa yang bakal menimpa...kalau ajal menerkam...itu telah ditakdirkan dan putuslah hakikat sebuah kehidupan di alam fana Tuhan.  Namun, yang menjadi persoalan...adakah kita kan terus disemadikan sebelum kita merasa segala keperitan, kesempitan, kesusahan dan kepayahan yang menjadi tunjang kitaran nyawa seorang insan?

Sesekali..kita harus merenung ke dalam diri..cantikkah aku hingga esok hari? Sihatkah aku hingga pagi nanti? Selamatkah aku hingga dinihari? atau sekejap lagi tuhan akan menganugerahkan aku sebuah ujian getir yang belum tentu aku mampu menanggungnya...

Itulah hakikat sebuah pengalaman...dalam ketawa kita tidak mampu mengekang esakan tangisan, dalam bahagia kita tidak fasih mentafsir bahasa luka, dalam kesenangan kita tidak arif meluahkan rasa susah....dan itulah yang bakal kita terima.  Sesiapa dan di mana jua...

Namun, segala hakikat perit yang bakal mendatang...terimalah dengan sebuah senyuman.  kerana Tuhan tahu siapa insan disisiNya. Kerana Tuhan tahu siapa insan disayangiNya.  Pujuklah hati...Tuhan tidak akan memberi musibah kerana kesilapan diri tetapi Tuhan memberi rezeki untuk kita memperbaiki diri. Anugerah bukan hanya diwarnai kemanisan, anugerah juga dirasai kepahitan..malah pahit akan bertambah manis dan harum bila kita mampu menginsafi bahawa kita sebenarnya insan pilihan Tuhan.

Tidak akan Dia anugerahkan musibah melainkan untuk Dia anugerahkan kesempurnaan...namun...persoalannya...mampukah kita menjadi insan yang tabah dan penyabar dengan segala rasa pahit, perit dan maung hidup ini?Huh!...sesekali malah berkali-kali terlintas sebenarnya dibenak hati...kenapa aku? Tuhan tidak pernah adil?...Itulah godaan yang menipiskan hakikat keimanan...

Janganlah kita rengekkan segala kesakitan, janganlah kita bebelkan segala kepayahan, janganlah kita rungut segala rintangan kerana dengan kesabaran dan kesyukuran...segalanya akan hilang...hilang...hilang...dan hilang.

Berilah ruang kepada diri sendiri untuk merasa keindahan alam, untuk mengecap kelazatan hidup, untuk menghirup kenikmatan nyawa...kerana dengan penghargaan kepada diri dan penghormatan kepada diri sebenarnya penawar mujarab untuk segala musibah.  Hormatilah diri kita selagi kita mampu menghormatinya...berilah ruang untuk diri kita merasai segalanya yang Tuhan anugerahkan kerana setiap sudut seorang insan itu terlalu istimewa.  Jagalah diri kerana diri kita akan menjaga emosi...emosi akan menjaga keseluruhan hidup kita...

Salam buat mereka yang menatap teristimewa buat mereka yang sedang dilanda musibah....sakit bukan untuk dirasai tetapi untuk dihargai kerana insan lain tidak akan merasa apa yang kita rasa...hiasi diri dengan kalimah suci kerana ianya mampu mententeramkan hati..
Bye ......Adios!

0 comments: